Monday, April 07, 2008

Tentang Bangsa



Pertama, saya meminta maaf. Sebulan itu tempoh yang lama untuk menjawab. Saya agak sibuk, tetapi seperti dinyatakan sebelumnya, 'sibuk' bukan alasan yang baik untuk memberi masa kepada teman-teman.

Kedua, terima kasih saya ucapkan kepada anonymous. Jawapan saudara sedikit sebanyak mencerahkan. Ada baiknya saudara membuka blog. Saya percaya banyak yang saudara boleh berkongsi dengan semua. Mohon kongsi link nya ya :)

Persoalan asal tulisan saya tidaklah serumit mana. Cakap-cakap sahaja tidak cukup untuk kita bising-bising; itu sahaja. Siasat, periksa, usah melulu.

Apabila ia masuk persoalan bangsa, ini daerah kompleks. Bagi saya, ia tidak semudah seperti banyak daripada kita sangka.



Ringkasnya begini: dua-dua pihak pun ada hujah. (Satu pihak mengatakan bangsa itu sangat penting. Satu lagi mengatakan bangsa tidaklah penting. Sama seperti perbezaan rentas mazhab vs. satu mazhab). Dan hujah dua-dua belah pihak; diselidik, diteliti, ada titik benarnya. Saya tidak suka berbincang soal politik. (Ia penting, cuma panjang-panjang ia jadi menyakitkan). Ia meningkatkan hit blog, jadikan saya terkenal, tapi ia panas membakar. Ia menang jadi arang, kalah jadi abu.

Seperti Islamis, demokratis atau manusia yang percaya bahawa semua manusia punya hak yang sama, saya impikan dunia yang tidak perlukan kuota. Dunia yang bangsa bukan soal penting, dan setiap daripada kita mampu melihat tanpa prejudis. Dan ini adalah sebahagian daripada perjuangan yang sentiasa saya sokong, idea yang sentiasa saya pentingkan dalam penulisan saya.

Namun realiti banyak kali, tidak seperti ideal dalam kepala kita. Tidak. Bukan pesimis,saya sudah berhenti jadi begitu, cuma dunia ini masih beroperasi dalam persamaan realiti tidak sama dengan ideal. Realiti tidakkan sama dengan ideal. Untuk membolehkan ideal yang kita sokong berfungsi dalam realiti, kita perlu memilih sesetengah daripada ideal tersebut dan meminggirkan dahulu bahagian lain daripada ideal itu.

Saya amat tidak bersetuju dengan prejudis buta terhadap bangsa lain selain bangsa kita. Melayu terhadap Cina atau Cina kepada India atau mana-mana bangsa sahaja kepada mana-mana bangsa yang lain. Tuhan jadikan kita lain untuk berkenal-kenalan, bukan untuk bermusuh-musuhan. Tuhan juga menilai saudara atas takwa, bukan kerana saudara Arab atau Melayu.

Ini fakta daripada AlQuran, bukan cakap-cakap untuk Maulidur Rasul sahaja.

Prejudis banyak kali buat kita nampak 'kuman' di seberang laut, buta 'gajah' yang di depan mata. Salah orang dicari-cari, salah sendiri biar sembunyi, usah dibaiki.

Pada masa yang sama saya juga percaya bahawa menjaga kepentingan bangsa adalah wajar. Apabila kita mengakui bahawa bangsa itu wujud, itu bermakna bahawa kewujudan bangsa itu sendiri adalah sah. Dan menjaga bangsa penting untuk memastikan kelangsungan kewujudan bangsa itu.

Dalam menjaga bangsa itu timbul pelbagai persoalan. Kita berbeza pendapat dalam kaedah-kaedah menjaga bangsa ini.

Saya percaya bangsa memberi identiti. Identiti adalah asas kepada siapa kita. Bangsa menjadi titik asas kepada perlakuan kita, dari mana kita datang dan ke mana kita pergi. Bahkan pada satu tahap saya percaya bangsa itu sebahagian daripada agama.

Bagi saya adalah normal timbul rasa berhati-hati. Timbul rasa bersaing antara bangsa. Semua ini bagus selagi ia dijaga supaya terus positif. Persaingan dan rasa hati-hati membuatkan kita menjaga dan meneruskan tradisi kita disamping bekerja kuat meninggikan martabat kita.

Cuma rasa bersaing dan hati-hati jadi sangat negatif apabila ia jadi prejudis tanpa asas. Dan prejudis ini jadi busuk sekali apabila ia sebenarnya timbul kerana kepentingan peribadi. Seseorang melaung-laung kaumnya menjaga kepentingan bangsa kerana dia hilang projek, sebagai contohnya.

Saya tidak bersetuju jika anonymous cuma memetik satu-satu parti sahaja sebagai punya prejudis tidak sihat ini. Ia ada dalam hati-hati ramai rakyat Malaysia, merentas bangsa. Cuma mungkin sesetengahnya nampak jelas sekali. Pun begitu yang tidak jelas tidak semestinya tidak wujud atau tidak salah. Semuanya perlu diperbetulkan dan diluruskan.

Tulisan ini sangat berkias, saya akui itu. Saya tidak mahu panjang-panjang, harapnya tulisan ini sedikit sebanyak membantu. Jika saudara punya pandangan, saya amat berbesar hati jika saudara sanggup berkongsi di sini.